|
|
|
|
|
USM temui keladi tikus ubat kanser
Akhbar
Utusan
Ogos 1998
Oleh NORZAHIZAN ISMAIL
Sejenis
tumbuh-tumbuhan dikenali sebagai 'keladi tikus' atau nama
saintifik "Typhonium Flagelliforme" yang ditemui oleh seorang
botanis hampir lima tahun lalu dipercayai boleh membantu pesakit
kanser. Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains
Malaysia (USM), Prof. Christopher Teo Kheng Hoe berkata, 'keladi tikus'
dijumpai secara kebetulan ketika seorang pesakit kanser meminta
pertolongannya untuk membiakkan tumbuhan itu yang dipercayai boleh
menyembuhkan penyakit. "Ketika itu saya terlibat dalam kajian
membiakkan tumbuh-tumbuhan dan berjanji untuk membantu mereka
membiakkan keladi tikus," katanya ketika dihubungi di Pulau Pinang
baru-baru ini.
Sejak itu, beliau mengesyorkan keladi tikus kepada
kenalannya yang menghidapi penyakit barah dan sehingga kini ia
berjaya menolong 800 orang pesakit tempatan dan luar negara termasuk
dari New Zealand, Amerika Syarikat, India, Indonesia dan Australia.
Menurut Prof. Teo, Keladi Tikus berkesan untuk menolong pesakit kanser
kerana selama ini pesakit yang mengambil tumbuh-tumbuhan ini
menunjukkan kesan yang positif. " Sebenarnya, tidak ada ubat di dunia
yang ditemui boleh menyembuhkan penyakit kanser. Apa yang ditemui ini
hanya dapat membantu pesakit yang menghadapi pelbagai jenis kanser,"
ujarnya.
Bagaimanapun beliau mengingatkan orang ramai supaya
tidak masuk ke hutan mencari pokok keladi tikus ini untuk dimakan
kecuali mereka benar-benar pasti ia benar-benar keladi tikus. "Apa yang
saya khuatir mereka mengambil pokok keladi yang salah berdasarkan
sesetengah buku rujukan memberi nama yang salah dan jika diambil
boleh membawa maut," katanya. Prof. Teo memberitahu, keladi tikus
semakin pupus tetapi boleh ditemui di kawasan paya dan terbiar serta
didapati dijual di sesetengah pasar. Katanya, lebih empat tahun lalu
beliau telah menemui satu cara mencampur keladi tikus dengan
tumbuh-tumbuhan lain lalu memproses menjadikan kapsul untuk dimakan
enam kapsul sehari. "Selain dari mengambil kapsul pesakit kanser,
mereka juga boleh menggunakan cara yang lebih baik dengan memakan daun,
atau akar umbi keladi tikus itu.
Bagaimanapun, masalah tumbuhan ini ialah cepat layu
dan rosak, jadi yang telah diproses itu tahan lebih lama," tambah
beliau. Prof. Teo berkata, pesakit yang tidak mengambil kapsul hanya
perlu mencuci dan merendam 50 gram atau empat atau lima pohon keladi
tikus di dalam air selama setengah jam. Selepas itu, katanya, pesakit
harus memerah jus keladi tikus dan mencampurkannya dengan madu untuk
mengelakkan rasa gatal. Pesakit hanya perlu minum jus segar keladi
tikus itu sekali sehari tetapi bagi mereka yang mengalami barah yang
serius perlu mengamalnya tiga kali sehari," jelas beliau. Selain itu,
menurut Prof. Teo, pesakit kanser juga harus mengubah cara hidup,
pemakanan dan perlu menukar metabolisme badan serta mengamalkan
penyembuhan kendiri (self healing).
|
 |
|
|